Click here for Myspace Layouts

Wednesday 23 November 2011

Adibah Noor Nekad tidak Mahu Berkahwin

Penyanyi bersuara lantang, Adibah Noor, 41, nekad tidak mahu berkahwin kerana serik untuk bercinta lebih-lebih lagi dia pernah putus kasih sebanyak lima kali.

Adibah berkata, pengalaman pahit itu membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu tidak sanggup melalui masalah yang sama lagi.

"Bayangkan, lima kali saya putus cinta dan semua tak mahu berkahwin dengan saya. Dan sejujurnya, saya serik dan tak mahu kahwin.

"Dengan usia sebegini, lebih baik saya jaga diri sendiri serta keluarga dan fokus pada kerjaya seni. Alhamdulillah, keluarga tidak pernah mendesak, malah mereka faham dengan apa yang saya inginkan," katanya.

Tambah Adibah, sejak berstatus solo, dia mula membela kucing dan kini mempunyai hampir 20 ekor, malah binatang peliharaan kesayangannya itulah yang menjadi penghibur di rumah.

Bukan sekadar kucing, Adibah juga merasakan hidupnya cukup sempurna walaupun tanpa lelaki bernama suami di sisi kerana mempunyai teman-teman rapat yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.

"Saya mempunyai sekumpulan rakan perempuan yan masih lagi bujang dan kami telah berjanji untuk menjaga antara satu sama lain.

"Selain keluarga, mereka inilah yang sentiasa bersama saya ketika susah dan senang. Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya takdir telah menentukan jodoh saya," ujarnya.

Dalam pada itu, walaupun dia sering menghiburkan pasangan-pasangan pengantin dengan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan, hal itu tidak pernah menjadi satu emosi untuknya.

Malah, Adibah telah menghasilkan sebuah lagu baru khas buat pasangan yang bergelar 'Raja Sehari' berjudul Ke Sana Denganmu, dengan menampilkan rakan duet, Sam (Innuendo).

"Lagu tersebut akan menjadi single terbaru saya dan ia sebenarnya dihasilkan kerana saya kerap diundang menyanyi di pelbagai majlis perkahwinan dan seperti biasa, lagu-lagu sama sahaja yang dinyanyikan.

"Justeru itu, saya ambil inisiatif, apa salahnya kalau saya muncul dengan lagu baru khas buat pasangan pengantin pula. Kemudian, selepas muncul idea itu, saya menghasilkan lirik disamping Aznan Abu Hassan yang menghasilkan lagunya," Kata Adibah.

Sementara itu, Adibah bakal muncul sebagai pengacara program Fab Skuad bermula 26 November ini, setiap Sabtu, pukul 7.30 malam menerusi saluran TV3.

Fab Skuad merupakan sebuah program baru yang memaparkan sebuah pasukan skuad khas yang membantu surirumah atau wanita yang bekerjaya membersih dan menguruskan kediaman mereka.

Menangis teresak-esak di sisi mayat isteri

 Seorang suami tergamam sejurus melihat isterinya maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis dan diseret sebuah treler berhampiran persimpangan Jalan Raja Musa Aziz, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi, mangsa yang juga jururawat, Liew Suet Foong, 50, membonceng motosikal bersama suaminya ke tempat kerja.


Kejadian ngeri itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian, manakala suaminya, Cheow Seng Yee, 62, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata kemalangan berlaku apabila pemandu treler terbabit tidak menyedari kehadiran motosikal pasangan itu sebaik membelok masuk di tempat kejadian.


“Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Silibin ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram bergesel dengan tayar lori treler terbabit.


“Akibatnya kedua-dua mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh. Ketika itu mangsa yang tidak sempat bangun dirempuh bahagian belakang treler itu menyebabkan dia diseret,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah di beberapa bahagian anggota tubuh termasuk kepala maut di tempat kejadian.


“Suami mangsa bagaimanapun terselamat dan hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 46 tahun ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Polis meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Pemain, pegawai dikurnia RM30,000

PELUH pun belum kering, ganjaran RM30,000 telah menanti setiap pemain dan pegawai pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara sebaik mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011 kelmarin.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, presiden, Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan wang ganjaran itu bagi mengenang jasa kesemua pegawai dan pemain yang bertungkus-lumus menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi sebenar permainan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Menurutnya, baginda bertitah, kemenangan kali ini juga begitu istimewa lantaran menang dalam dua perlawanan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.

"Ia merupakan kurniaan peribadi baginda yang berkenan memberikan ganjaran RM30,000 setiap seorang kepada semua pemain termasuk pegawai.

"Pada masa sama, FAM juga akan memberikan ganjaran kepada kesemua pemain tidak kira yang beraksi ataupun tidak pada masa terdekat ekoran kejayaan mereka," katanya.

Hamidin yang juga Pengerusi Jawa- tankuasa Pertandingan Tempatan FAM sebelum itu mempengerusikan mesyuarat berhubung Liga Malaysia (Liga-M) 2012 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah.

Hamidin memberitahu, skuad bimbi- ngan Ong Kim Swee juga akan berlepas ke Sydney, Australia selama dua minggu pada pertengahan Disember depan bagi diuji sekurang-kurangnya tiga kelab terkemuka di sana.

Dalam pada itu, nasib sama ada dua pasukan, impian Pahang dan Perlis untuk kembali semula ke saingan Liga Super selepas tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan juga masih samar.

Menurut Hamidin, buat masa ini pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada mahu menambah bilangan 14 pasukan yang telah layak ke Liga Super, dan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu hanya akan diketahui selepas ia dibentangkan ke mesyuarat Exco tidak lama lagi.

"Mengikut perbincangan awal, 14 pasukan akan bersaing dalam saingan Liga Super bagi musim depan sebelum hanya 12 pasukan sahaja yang akan bertanding pada 2013," katanya.

Maut sewaktu tonton bola

 Seorang peminat bola sepak meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia dan rakan-rakan menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 yang cukup dramatik antara Malaysia dan Indonesia di sebuah restoran di sini malam kelmarin.

Ahmad Fauzi Ismail, 42, pengsan di restoran Pak Mid di pekan Guar Chempedak di sini kira-kira pukul 10.50 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Yan kira-kira 10 minit kemudian.

Dia disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital tersebut.

Seorang saksi kejadian yang merupakan pembantu kedai makan, Hasli Ishak, 29, memberitahu, Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai dan ketika kejadian dia sedang menikmati nasi goreng sambil menonton perlawanan bola sepak.

"Sebelum dia pengsan, saya nampak dia lemah dan menyuap makanan masuk ke mulutnya dengan perlahan sebelum dia rebah di atas kerusi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...