Click here for Myspace Layouts

Saturday, 24 December 2011

Siti puas dapat ‘tembak’ staf

TEMPUR... Pasukan Siti dan Datuk K saling mengacukan pistol sebagai amaran berjaga-jaga sebelum permaianan dimulakan.

PUAS! Itulah ungkapan yang terpacul dari mulut penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza setelah meluangkan masa hampir sejam di pusat permainan Galactic Laser yang terletak di tingkat tiga, pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, Petaling Jaya.
Ironinya, apa yang lebih menggembirakan ialah penghibur yang mesra disapa sebagai Siti itu turut ditemani oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K bersama dua anak bujangnya, Muhammad Adib, 21 dan Muhammad Asyraf, 20.
Bahkan bukan mereka berempat sahaja yang seronok bermain permainan ala paintball itu, tetapi keseronokan itu turut dikongsi bersama kakitangan produk kecantikan Simply Siti seramai lebih 30 orang.
Rata-rata di kalangan mereka, ia merupakan kali pertama mencuba bermain permainan tersebut dan semuanya ternyata teruja.
Menurut Siti, syarikat kosmetiknya itu akan sentiasa melakukan aktiviti riadah bersama bagi memastikan tekanan di tempat kerja dapat diseimbangkan.
“Sebelum ini kami pernah bermain boling, futsal dan berkaraoke untuk menghilangkan tekanan kerja di pejabat.
“Ini adalah salah satu inisiatif atau pendekatan yang saya gunakan untuk menghargai kakitangan kami.
“Dengan cara ini, setiap kali selepas berseronok, minda mereka akan berasa lega dan segar untuk memikirkan idea baru dalam tugasan masing-masing,” katanya.
Game yang selamat
Mengulas mengenai permainan laser tag, Siti akui pada awalnya dia langsung tidak tahu cara untuk bermainnya.
Namun, setelah diberi taklimat oleh salah seorang petugas di situ yang digelar Marsyal, barulah dia faham serba sedikit pasal peraturan dan teknik permainan tersebut.
Bagaimanapun, di mindanya masih lagi samar selagi dia belum memasuki ruang gelap yang direka khas menyerupai medan pertempuran itu.
“Setelah siap menyarungkan uniform khas yang dilengkapkan dengan pistol laser, perasaan mula berdebar-debar.
“Kemudian, apabila sudah memasuki medan perang, saya terus mencari sudut terbaik untuk melakukan serangan.
“Tidak lama selepas itu, keseronokan terus dirasai dan saya tidak henti-henti berkejaran ke sana sini untuk menembak ataupun mengelak tembakan musuh,” cerita Siti yang mengetuai pasukannya di kumpulan D itu.
Menariknya, dalam aksi tembak menembak tersebut, Siti harus berhadapan dengan pasukan Datuk K (kumpulan B).
Gelagat lincah Siti yang terkenal sebagai olahragawati di zaman persekolahannya itu banyak membantunya untuk menjadi penembak yang berjaya mengumpul markah tertinggi dalam kumpulan.
Pernah pada satu ketika, Siti mendahului carta markah yang dipaparkan di luar medan perang dan sesekali saling berganti kedudukan dengan anak tirinya, Adib.
Ternyata, Siti masih lagi aktif dan ligat untuk bersaing dengan kakitangannya dan pertempuran antara kedua-dua pasukan agak sengit.
Bagaimanapun, di akhir pertempuran yang berlangsung selama 10 minit itu, pasukan Datuk K berjaya menumpaskan pasukan Siti.
Meskipun tumpas di tangan suaminya, Siti ternyata puas dan seronok bermain permainan tersebut dan menyifatkan permainan berkenaan sebagai sukan ekstrem yang selamat.
“Permainan ini sesuai dengan semua peringkat usia asalkan masih berupaya untuk berlari.
“Walaupun penat, yang penting saya dan kakitangan Simply Siti dapat mengetepikan seketika masalah di pejabat dan berseronok di sini.
“Mungkin pada masa akan datang, satu aktiviti lain pula akan diadakan,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...