Click here for Myspace Layouts

Wednesday 14 December 2011

Tangisan atas gelongsor

KAJANG: Seorang remaja perempuan yang melalui kawasan taman permainan terkejut mendengar tangisan bayi di Taman Cheras Prima, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang, remaja berusia 17 tahun itu mencari punca suara tangisan itu sebelum menjumpai bayi perempuan berpakaian lengkap ditinggalkan di atas gelongsor.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kasihan melihat bayi malang itu, remaja berkenaan mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah.
Katanya, sebaik tiba di rumah, keluarga remaja berkenaan terkejut dengan penemuan itu, tetapi bersetuju menjaganya sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa hari ini (semalam).
“Polis yang menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu segera pergi ke rumah keluarga remaja berkenaan.
“Sebaik tiba, polis menemui bayi perempuan cukup sifat dijaga keluarga berkenaan dan percaya bayi itu ditinggalkan beberapa jam sebelum ditemui,” katanya.
Beliau  berkata, bayi terbabit dikejarkan ke Hospital Kajang (HK) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya yang lemah.
Menurutnya, pihak hospital tidak menolak kemungkinan bayi itu dilahirkan seminggu lalu sebelum ditemui.
“Laporan hospital menunjukkan bayi itu dalam keadaan stabil, tetapi masih perlu diberi perhatian pakar.
“Bayi itu ditempatkan di hospital buat sementara waktu sehingga keadaannya disahkan sihat secukupnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ab Rashid berkata, setakat ini polis masih menyiasat siapa ibu bapa bayi malang itu selain mengumpul bukti dari orang ramai yang melihat kelibat individu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan beberapa jam sebelum bayi itu ditemui.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...