Click here for Myspace Layouts

Sunday 4 December 2011

Apa cerita...: Aishiteru suami atau kekasih?

AKU Cinta Padamu, I Love You, Wo Ai-Ni, Nan Unai Kadelikiren, itu semua ungkapan yang sering didengar ketika orang bercinta. Kini, demam drama Jepun menyelusup ke negara ini dan muncullah judul drama bersiri menarik berjudul Aishiteru yang bakal disiarkan di TV9 menerusi slot Aurora bermula 8 Disember ini.
Lakonan hebat pelakon baru dan berbakat besar seperti Afiq Muiz, Erin Malik, Izue Islam, Datuk Jalaluddin Hassan dan Wan Nor Azlin semestinya membuatkan anda semua terikat depan televisyen sepanjang 13 episod nanti.
Kisah bermula dengan Izrael, lakonan Afiq Muiz, yang mempunyai tabiat suka berfoya-foya dan sering bertukar pasangan. Satu malam, ketika bersuka ria di pub bersama rakannya, Izrael ditahan penguat kuasa kerana didapati memiliki pil ecstacy.
Izrael bingung kerana dia sememangnya tidak pernah mengambil pil khayal itu dan hairan bagaimana ia boleh berada dalam poketnya.
Akhirnya Izrael mendapat tahu ia adalah angkara bekas teman wanitanya, Rania, yang masih berdendam dengan Izrael kerana memutuskan percintaan mereka.
Datuk Izrael, iaitu Leftenan Kolonel (B) Ismail, seorang yang tegas dan dia menjamin Izrael tetapi dengan bersyarat. Izrael perlu menjalani perintah berkurung di rumah dan juga akan dimasukkan ke Institut Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia. Ini membuatkan Izrael berasa rimas kerana dia sering keluar rumah untuk berhibur.

Pada satu hari, dia menyelinap mengikut rakannya bercuti ke Pulau Pangkor. Di satu perkampungan nelayan, Azira (Erin Malik) meratap sedih kerana terpaksa melepaskan sahabat baiknya, Ammar melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Dalam diam, Azira menaruh hati terhadap Ammar tetapi segan untuk meluahkan hati. Ketika keluarga Ammar sibuk membuat kenduri kesyukuran, Azira menyelitkan surat cintanya ke dalam buku Ammar.
Harapan Azira supaya Ammar membaca surat itu dan membalas cintanya.
Izrael dan rakannya terserempak dengan Azira dan mereka mengusik Azira. Izrael yang sememangnya dikenali sebagai kaki perempuan di kalangan rakannya, mengusik Azira yang berperwatakan cantik dan lembut. Sikap ‘jual mahal’ Azira membuatkan Izrael semakin tertarik untuk mendekatinya.
Pelbagai cara dilakukan Izrael sehingga penduduk kampung menyangka Azira menggatal dengan pemuda dari bandar. Gara-gara mulut Muna yang suka menjaga tepi kain orang, terutama Azira, menguatkan lagi sangkaan buruk penduduk terhadap Azira.
Azmi, abang Azira yang panas baran, mengamuk dan menggertak untuk mengahwinkan Azira dengan Izrael. Azira menjadi semakin tertekan! Satu hari Izrael menaiki bot nelayan dan terjatuh ke laut. Izrael berpura-pura lemas dan diselamatkan oleh Pak Aziz, bapa Azira. Izrael terpaksa berbuat begitu semata-mata untuk mendekatkan diri dengan Azira.
Pak Aziz simpati dengan Izrael dan membawanya pulang ke rumah. Azira tidak suka dengan kehadiran Izrael, dan begitu juga Azmi.
Izrael yang masih tidak berubah perangai tiba-tiba cuba memeluk dan mencium Azira ketika gadis itu ingin memberikan air kepadanya. Tanpa diduga, Azmi pulang pada waktu itu dan menyaksikan perbuatan tidak senonoh Izrael.
Azmi begitu marah dan ingin memukul Azira, tetapi dihalang oleh Izrael yang tiba-tiba boleh bergerak. Ini membuatkan Azmi bertambah marah kerana Izrael sebenarnya berbohong dan dia tidak sakit.
Azmi mencabar Izrael berkahwin dengan Azira dan ini membuatkan Izrael terjelepuk di lantai. Muna yang suka membawa mulut mendengar pekikan Azmi dan memberitahu seluruh kampung.
Keluarga Azira berasa sungguh malu. Izrael pula terpaksa menelefon ibunya, Puan Nora dan ini membuatkan ibunya terkejut. Datuknya juga sangat terkejut mendengar perkhabaran daripada Izrael.
Apakah keputusan Izrael? Tentu tidak mungkin Azira bersetuju dikahwinkan dengan Izrael kerana cintanya hanya pada Ammar. Adakah Leftenan Kolonel (B) Ismail akan menghantar cucunya yang nakal itu ke Institut Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia? Tunggu dan tonton slot Aurora berjudul Aishiteru pada setiap Rabu, jam 8.30 malam bermula 8 Disember ini untuk mengetahui kesudahannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...